![]() |
| Light |
ـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانً۬ا وَيُكَفِّرۡ عَنڪُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ (٢٩
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (Al-Anfal:29)
Furqan: Kemampuan untuk membezakan antara hak dan batil
Jika diteliti ayat di atas, Allah mengajak lembut orang-orang beriman kepada takwa kerana nescaya selepas itu Allah akan memberikan furqan iaitu kemampuan untuk membezakan antara hak dan batil. Dan lebih menarik setelah itu, diampunkan segala dosa kita. Takwa -> Furqan -> Pengampunan. Perjalanan seterusnya tak susah untuk diteka, bukan? Itulah tempat terindah. Di mana lagi penginapan kekal abadi buat hamba yang dibersihkan? Di mana lagi tempat berehat buat mereka yang bertaqwa? Itulah, syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Ahh, indah bukan?
Tapi, syarat awal yang disebut adalah taqwa. Dengarkan kata-kata Syed Qutb tentang ayat ini.
Tidaklah hati memiliki furqan (daya pembeda hak dan batil) ini kecuali dengan adanya sensitivitas takwa dan dengan adanya cahaya Allah.
Bekal takwa yang dapat menghidupkan hati dan membangkitkannya. Juga menghimpun padanya persiapan-persiapan kewaspadaan, kehati-hatian dan penjagaan diri.
Sehingga pandangannya tidak tertutup oleh syubhat-syubhat yang menghalangi penglihatan secara total.
Takwa adalah lapisan hati yang menjadi impian setiap hamba yang benar dalam imannya. Maka itu memiliki furqan itu, perlu benarnya dalam amalnya, benar dalam katanya, benar dalam niatnya.
Dengarkan lagi bicara Syed Qutb,
Takwa kepada Allah itu menjadi furqan di dalam hati, yang menerangi jalan yang berbelok-belok, curam dan mendaki.
Bayangkan nikmat keindahan untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus setiap saat. Bayangkan setiap saat langkah kita adalah terjamin dan di redhai. Bayangkan perjalanan kita sentiasa selamat walaupun berada di tebing yang sangat curam. Bayangkan tangan kita seolah digengam erat setiap ketika walau saat itu badan melemah, walau di saat kita lelah, masih ada yang memegang utuh tanpa putus tangan itu. Dan yang memegangnya adalah Tuhan kita. Ya, Tuhan kita. Maka jaminan keselamatan jenis apa lagi yang kita inginkan. Bukankah genggaman Allah adalah yang terbaik? Dan itulah, furqan.
Tetapi hakikat ini, tidak diketahui kecuali orang yang merasakannya secara praktis. Kerana keterangan sahaja tidak bisa mengalihkan apa yang dirasai dalam hakikat ini kepada orang yang tidak merasakannya.
Sayang jika jiwa kita tidak menginginkan furqan itu. Tidak ingin merasai manisnya berada di bawah lindungan ilahi setiap masa dan ketika. Mungkin pada saat itu hawa nafsu yang menghalangi. Hawa nafsu yang jika tidak dilawan dengan takwa, maka akan meraih kemenangan dengan mudah. Umpama emosi yang mengalahkan rasional akal. Umpama cerah bulan dilitupi malam kelam.
Syed Qutb menyambung:
Hawa nafsulah yang menebarkan kegelapan, menghalangi pandangan, menggelapkan jalan dan menyamarkan jejak.
Hawa nafsu tidak dapat ditolak dengan argumentasi. Ia hanya dapat ditolak dengan takwa, rasa takut kepada Allah dan kesedaran bahwa ia diawasi oleh Allah baik ketika sembunyi atau dihadapan orang lain.
Kerana itu, hanya furqan inilah yang dapat menerangi mata batin, menghilangkan kesamaran dan menerangi jalan.
Dan itulah furqan, yang hanya diraih dengan takwa. Dan Maha Suci Ar Rahman Yang Maha Pemurah, ditambah sesudah memperoleh furqan dengan pengampunan dosa. Keberkatan atas keberkatan. Kurniaan atas kurniaan.
Furqan: Impian Ramadhan
4 hari lagi jika diizinkan Tuhan, Ramadhan masih sudi menerima diri ini. Ironinya bertahun menyambut ramadhan, tidak terpenah mengimpikan untuk dikurniakan furqan. Mungkin belum mengerti untuk apa furqan itu sebenarnya. Dan bila disebut ramadhan, maka dicipta ramadhan buat kita kerana supaya akhirnya kita bertakwa. La'alakum tattaqun (mudah-mudahan kamu bertakwa). Dan inilah kunci kepada furqan. Subhanallah, kurang seminggu sebelum ramadhan Allah mempertemukan dengan ayat ini dan diilhamkanNya diri ini untuk menulis, moga-moga furqan milik kita bersama.
ـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah-183)
Ramadhan Kareem.
Moga terpilihnya merasai ramadhan, maka terpilih untuk meraih takwa.
Mudah-mudahan.

0 comments:
Post a Comment